Sabtu, 12 Disember 2009

Asas Masakan Hutan

Pengetahuan mengenai kaedah memasak altenatif penting bagi seorang ahli pengakap. Aktiviti seperti kembara dan perkhemahan lazimnya tidak mengizinkan ahli pengakap untuk membawa barangan dan makanan yang cukup kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. Kembara contohnya, memerlukan ahli pengakap untuk berjalan beberapa kilometer menyusuri pantai, anak sungai malah kadang kala jauh ke dalam hutan belantara. Justeru dalam nota kali ini, saya akan menunjukkan beberapa contoh masakan alternatif (masakan hutan) yang boleh digunakan oleh ahli pengakap jika berhadapan dengan situasi luar jangkaan seperti kehabisan bekalan makanan, sesat atau kemalangan ringan.

Resipi Pertama - Roti lilit

Bahan - Tepung gandum secukupnya, sedikit garam, air dan ranting kayu atau belahan buluh yang telah dibersihkan.
Cara Membuat - Campurkan tepung gandum, air dan sedikit garam. Lakukan dengan cermat dan sedikit demi sedikit mengikut keperluan. Uli sehingga sebati sehingga menjadi doh. Bila siap gentel doh tadi menjadi bentuk selinder yang panjang sebelum dililit dengan kemas pada sebatang belahan buluh atau ranting. Pastikan ukuran lilit doh tidak terlalu tebal kerana bimbang lambat masak. Jika ada mentega, sapukan di atas doh tadi. Kemudian panggang di tepi api yang sederhana sambil dipusing-pusingkan supaya semua bahagian doh masak dengan sempurna. Apabila telah masak, bolehlah dihidang di atas daun pisang. Bagaimana hendak menyalakan api ? Sebelum api dinyalakan, buat lubang berukuran 2 kaki x 1 kaki dengan kedalaman yang sesuai. Tujuan lubang ini ialah untuk meletakkan ranting kering supaya tidak ditiup angin.

Kebaikkan Menggunakan Lubang Api
1. melindungi tiupan angin
2. mengawal bara api supaya tidak dipijak
3. kekemasan dapur bawah (tanah)
4. lebihan bara api boleh terus ditimbus bila selesai masak
5. mengelakkan lokasi perkhemahan dikesan musuh

Cara Menyalakan Api Menggunakan Kanta
1. alternatif jika mancis basah, habis atau tertinggal
2. boleh digunakan jika hari panas (matahari terik)
3. perlukan sebuah kanta
4. gunakan habuk halus (buluh diraut halus)
5. atau kapas sebagai bahan bantu mula
6. kelemahannya, mengambil masa yang lama
7. amat menguji kesabaran ahli pengakap

Resipi Kedua - Masak nasi dalam buah kelapa

Bahan - Sebiji kelapa, beras secukupnya dan beberapa helai daun kelapa atau daun pandan.
Cara Membuat - Kelapa tua dikupas sabutnya tetapi tidak perlu di belah dua. Buat lubang di hujung tempurung kelapa berkenaan supaya beras dapat diisi dengan mudah. Beras yang telah dicuci di masukkan kelapa berkenaan berlahan-lahan bersama-sama air kelapa yang telah sedia ada di dalamnya. Ukuran beras ialah separuh dari keluasan buah kelapa berkenaan. Seterusnya, tutup lubang tadi dengan daun kepada atau daun pandan (jika ada), supaya air kelapa tidak melimpah keluar apabila mendidih kelak. Akhir sekali, masukkan kelapa yang berisi beras tadi ke dalam bara api dan tunggu sehingga mendidih dan masak. Salah satu tanda nasi telah masak ialah tempurung kelapa telah hangus. Angkat kelapa berkenaan, dan belah dua untuk melihat hasilnya. Nasi tadi berasa amat sedap dan berbau wangi seperti nasi lemah. Sebiji kelapa sesuai untuk hidangan dua orang dewasa.

Resipi Ketiga - Masak nasi dalam buluh

Bahan - Dua batang buluh lemang, beras secukupnya dan beberapa helai daun pisang muda.
Cara Membuat - Potong buluh kira-kira panjang sebelah tangan. Kemudian cuci sehingga bersih dan lapik menggunakan daun pisang muda di bahagian dalamnya (seperti buat lemang). Beras yang telah dicuci di masukkan ke dalam buluh. Ukuran beras ialah separuh dari ketinggian buluh berkenaan dan tuangkan air hingga 3/4 penuh. Tutup hujung buluh dengan daun pisang muda yang telah dibuat gumpalan. Tujuannya supaya habuk dan asap tidak masuk ke dalam nasi berkenaan. Akhir sekali, sendengkan buluh yang berisi beras tadi ke tepi bara api dan tunggu sehingga mendidih. Salah satu tanda nasi telah masak ialah air dalam buluh tadi kering. Sebatang nasih yang dimasak dalam buluh sesuai untuk hidangan dua orang dewasa.

Resipi Keempat - Masak telur dalam limau

Bahan - beberapa biji telur, dua biji buah limau sunkist, dan beberapa batang lidi.
Cara Membuat - Limau sunkist perlu dipotong dua. Bahagian yang perlu dipotong ialah di bahagian atas limau berkenaan dan jadikan seperti tutupnya. Kemudian buang bahagian isi dalamnya dengan cermat supaya tidak bocor. Hanya perlukan kulit luar sahaja untuk dijadikan 'periuk' sementara. Jika limau sunkist tiada, cari buah hutan yang berkulit tebal dan basah serta dibuang isi dalamnya. Pecahkan sebiji telur ke dalam 'periuk limau' tadi dan kacau perlahan-lahan sebelum ditutup dengan kemas. Gunakan lidi sebagai 'jarum' supaya tutup limau tidak terbuka. Letakkan 'mangkuk limau' yang mengandungi telur dengan cermat di tepi bara api. Tunggu sehingga telur tadi masak dan dihidang di atas daun pisang. Rasa telur amat enak, kerana campuran perisa limau dan telur tadi.

Resepi Kelima - Telur bersalut tanah liat

Bahan - Telur secukupnya dan tanah liat sungai.
Cara Membuat - Kumpul tanah liat sungai dalam sebuah bekas. Pastikan tanah liat tidak terlalu cair. Kemudian balut telur tadi dengan menggunakan tanah liat sehingga tebal. Tujuan utama kenapa tanah perlu dibalut dengan tebal supaya telur tidak pecah atau meletup apabila dibakar. Jika selesai, masukkan telur ke dalam bara api dan tunggu sehingga masak. Tanda telur telah masak ialah, bahagian tanah liat tadi kelihatan kering dan merekah.

Selamat Mencuba..!