Rabu, 16 Disember 2009

Sejarah Pengakap

Sejarah Pengakap di MALAYSIA Pergerakan Pengakap mula berkembang di Malaysia (Malaya) apabila F.C.Sands menubuhkan pasukan Pengkap Kanak-Kanak (cubs) di Singapura pada tahun 1910 ( Dua tahun setelah BP mengasaskan Pergerakan ini di England). Bergerak dari tarikh itu, pada tahun 1919 Pasukan Pengakap untuk budak-budak Melayu telah diasaskan oleh Kapten N.M. Hashim dan Encik A.Z.Alsagoff,juga di Singapura. Negeri Melayu yang pertama memulakan Pergerakan Pengakap ialah Pahang (Pekan) oleh G.M.Laidlow.Namun begitu, pergerakan ini terus terkubur setelah G.M.Laidlow meninggal. Pada tahun 1927, pergerakan Pengakap dihidupkan semula oleh H.P.Hertslet, Frisby dan Wheeler dari Jabatan Pelajaran Pahang memajukan pergerakan ini. H.R. Cheesman (seorang ahli pendidikan yang terkenal) telah menubuhkan pergerakan Pengakap di Pulau Pinang iatu di Penang Free School pada tahun 1915. Mendiang juga menjawat jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Malaya selama 13 tahun lamanya. Di Perak pula, pergerakan pengakap ditubuhkan di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1926 oleh I.R.Wheeler.Pada tahun 1922, pergerakan Pengakap bermula di Kedah. Manakala di Johor pula, pergerakan ini bermula pada tahun 1928 dengan kumpulan pertamanya di Maktab Sultan Abu.Bakar.
Melaka dan Negeri Sembilan memulakan pergerakan Pengakap pada tahun 1926 oleh Brunstone. Selangor menubuhkan pergerakan Pengakap pada tahun 1926 oleh Ameen Akbar. Terengganu dan Kelantan memulakan pergerakan ini pada tahun 1927. Pengasas di Terengganu ialah A.J.Gracle,dan di Kelantan pula ialah YM Tengku Ahmad Temenggong.
Perlis pula ialah pada tahun 1931. Sarawak menubuh pergerakan pengakap pada tahun 1913 dan Sabah pada tahun 1915. Setelah merdeka pada tahun 1957, Persekutuan Budak-Budak Pengakap Tanah Melayu, menjadi ahli dalam Persidangan Pengakap Sedunia. Pada tahun 1963 (penubuhan Malaysia), Persekutuan Budak-Budak Pengakap Tanah Melayu ditukar kepada Persekutuan Pengakap Malaysia.
Ringkasan Tahun Negeri Yang menubuhkan pergerakan Pengakap 1910 Singapura F.C. Sands 1913 Sarawak (tidak aktif sehingga tahun 1930) . 1915 Sabah (tidak aktif sehingga tahun 1930) . 1915 Pulau Pinang H.R.Cheesman 1919 Singapura (pengakap Melayu) Kepten NM Hashim/En.AZ Alsagoff 1922 Kedah EC Hicks / EAG Stuart / RPS Walker 1926 Perak I.R. Wheeler 1926 Melaka & Negeri Sembilan Brunstone 1926 Selangor Ameen Akbar 1928 Johor 1927 Terengganu A.J. Gracle 1927 Kelantan YM Tengku Ahmad Temenggong 1931 Perlis [ senarai pilihan]

Ahad, 13 Disember 2009

Uniform Pengakap KLM14

Pengakap merupakan salah satu daripada pergerakan sukarela yang mempunyai pakaiannya sendiri. Ia dinamakan sebagai uniform pengakap. Berkonsepkan kepada keseragaman, maka setiap ahli pengakap yang berdaftar perlu memiliki uniform ini yang mempunyai peraturan khusus pemakaiannya. Lazimnya, uniform pengakap boleh dibeli dengan mudah kerana sedia terjual di semua kedai pakaian sekolah seluruh negara. Kali ini saya ingin terangkan bentuk uniform penolong pemimpin bagi Kumpulan Latihan Malaysia ke-14 dari segi reka bentuk baju dan seluar, jenis-jenis peralatan tambahan, peraturan dan sebagainya supaya kelihatan seragam. Perhatikan gambar yang disertakan di bawah ini dengan teliti.












Istiadat Perlantikan Pengakap Kanak-Kanak

Seorang kanak-kanak akan disahkan terlebih dahulu, sebagai seorang ahli Pergerakan Pengakap setelah melalui satu istiadat yang serupa bagi seluruh dunia. Istiadat itu dijalankan, seperti berikut:

1. dalam perkataan dan upacara yang mudah.
2. ikhlas dari segi perlantikan kanak-kanak dan pemimpin yang berkenaan.
3. khusyuk (dignified) dan syahdu.

Perlu diingat bahawa Pengakap akan menilai perlantikannya dari segi penampilan persediaannya dan cara istiadat itu dilansanakan. Prosedur adalah seperti yang dinyatakan di bawah ini.

1. Lebih baik dijalankan di tempat luas atau terbuka.
2. Jika diadakan di perjumpaan Troop, istiadat patutlah diadakan di peringkat awal.
3. Kalau diadakan di dewan, dewan itu mestilah dibersihkan dan alatan dewan diketepikan. Tugas
    ini dijalankan oleh patrol yang bertugas.
4. Pemimpin janganlah menggunakan buku rujukan. Teks biasa janganlah diubah.
5. Semua yang membantu istiadat tersebut haruslah faham peranan masing-masing. Adakan raptai kalau
    perlu (tanpa kehadiran ahli baru itu).
6. Cadangan untuk mengadakan istiadat itu hendaklah diberitahu kepada Troop atau PEK
    pada perhimpunan sebelumnya dan semua keperluan hendaklah disediakan.
7. Pengakap itu patut dilantik oleh Pemimpin Kumpulan. Perlantikan adalah perkara peribadi
    antara  Pemimpin dengan Pengakapnya.
8. Pemimpin hendaklah mempunyai tauliah.

ISTIADAT PERLANTIKAN PENGAKAP KANAK-KANAK

Istiadat melantik Pengakap Kanak-Kanak adalah seperti berikut:

1. PEK berada dalam bulatan. AKELA berdiri di tengah-tengah bulatan. Penolong Pemimpin berdiri
    di luar bulatan di belakang tiang bendera. PEK berdiri dalam keadaan sedia.
2. Adik baru yang berada di luar bulatan dipanggil masuk ke dalam bulatan.
3. Ketua Sekawan yang berkenaan membawa ahli baru itu berdiri di hadapan AKELA. Selepas itu,
    Ketua Sekawan balik ke tempatnya.
4. Serentak dengan itu, Penolong Pemimpin masuk ke dalam bulatan dan berdiri di sebelah AKELA
   dengan membawa topi, sekaf dan lencana keahlian.
5. AKELA : "Adakah kamu ingin menjadi seorang Pengakap Kanak-Kanak?"
    PKK Baru : "Ya, AKELA."
    AKELA : "Adakah kamu bersedia untuk melafazkan Persetiaan Pengakap"
    PKK Baru : "Ya, AKELA."
6. AKELA melafazkan Persetiaan Pengakap dan diikuti oleh PKK baru itu:-
    "Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia, yang saya dengan seberapa daya
     upaya saya akan;
            a.  Taat kepada Tuhan, Raja dan Negara,
            b.  Menolong orang pada setiap masa,
            c.  Menurut Undang-Undang Pengakap"
7. AKELA berjabat tangan dengan Pengakap Kanak-Kanak yang baru dan berkata:-
    "Saya percaya kamu akan buat habis baik dan menurut apa yang kamu janjikan. Kamu sekarang   
      adalah seorang Pengakap Kanak-Kanak dan seorang ahli dalam Persaudaraan Pengakap Sedunia."
8. AKELA menyematkan lencana keahlian, menyarungkan sekaf dan memakaikan topi kepada
    pengakap Kanak-Kanak itu.
9. Pengakap Kanak-Kanak memberi tabik hormat kepada AKELA. Kemudian PKK itu berpusing dan
     memberi hormat kepada PEK. PEK membalas hormat sebagai tanda mengalu-alukan PKK
    (Adik baru) ke dalam PEK.
10. Ketua Sekawan berkenaan membawa Pengakap Kanak-Kanak baru itu dan memperkenalkannya
      kepada Sekawan itu.
11. Istiadat ini diakhiri dengan Laung Agung yang dibuat kali pertama disertai Pengakap Kanak-Kanak
      tersebut.
12. Sekiranya semua Sekawan adalah ahli baru, maka istiadat perlantikan diadakan dalam dua peringkat.
      Ketua Sekawan dilantik terlebih dahulu dan ahli lain dilantik kemudian.

Perkhemahan Asas

Konsep Berkhemah

Khemah boleh didefinisikn sebagai tempat tinggal sementara yang selamat, selesa dan mempunyai kemudahan asas yang minima. Tidak kira juga apa bentuk dan jenis tempat berlindungan itu, ia dikategorikan sebagai khemah.

Maksud Tempat Perlindungan adalah sebarang bentuk tempat perlindungan tidak kira dari canves, nylon atau pun daun dan mungkin juga dari batu dan simen sepertimana yang didirikan oleh warga pelarian perang di tapak sementara di negeri orang . Apa yang pentingnya ialah, ia boleh memberi perlindungan dari hujan, panas, kesejukan dan juga angin.

Bagi warga rekreasi, khemah yang diperlukan adalah ringan, lasak dan senang dipasang dan dibuka semula. Khemah yang paling sesuai adalah diperbuat dari bahan nylon dan jenis-jenis lain yang bersifat ringan.

Jenis-Jenis Khemah

Terdapat tiga bentuk khemah yang sesuai dengan tiga bentuk cuaca dan persekitaran yang berbeza.

1. Khemah nylon berntuk "A" atau poncho (seperti digunkan oleh tentera) yang sesuai digunakan di kawasan tanah rendah atau pantai. Khemah jenis ini akan memberikan kitaran udara yang baik di tempat-tempat yang agak panas.

2. Khemah nylon berbentuk Dome adalah sesuai digunakan dipergunungan kerana boleh ditutup dan menghalang dari kesejukan. Khemah ini boleh memerangkap udara panas di dalam khemah dan menghalang angin sejuk dari menerobos ke dalam. Dengan ini memberi keselesaan kepada pengguna di persekitaran yang sejuk.

3. Khemah nylon berbentuk Igloo adalah sesuai digunakan di pergunungan air batu dan di tempat bersalji. Fungsinya sama dengan khemah bentuk Dome di atas, cuma ianya lebih memanaskan.

Keselamatan

Terdapat beberapa perkara yang perlu diutamakan untuk dihindari dan dibuat

1. Jangan mendirikan khemah betul-betul di puncak gunung atau bukit, kerana ini akan menyebabkan kita menjadi "point of contact" sekiranya berlaku kilat atau petir, menjadi penampan sekiranya berlaku ribut atau angin yang kuat. Cara yang sesuai hendak dirikan khemah dalam jarak 4 ke 6 meter dari puncak. Lagi jauh lagi baik. Peristiwa dipanah petir pernah berlaku di sebuah gunung di Negeri Pahang satu ketika dahulu.

2. Jangan dirikan khemah di tepi tebing atau bawah tebing yang curam. Kerana tebing-tebing ini berpotensi untuk runtuh bila berlaku hujan atau sebagainya.

3. Jangan berkhemah terlalu hampir dengan tebing sungai. Banjir kilat di kawasan pendalaman akan berlaku tanpa disedari dan dalam beberapa saat saja air akan naik mendadak menghanyutkan khemah bila berlaku hujan di hulu sungai.

4. Hindari dari berkhemah di laluan binatang "Denai" kerana bila-bila masa saja binatang hutan akan melalui denai berkenaan. Yang paling bahaya adalah kumpulan gajah. Dalam sekelip mata saja khemah yang didirikan akan ranap kerana gajah akan berjalan berkumpulan. Jadi Jarakkan dari denai sekurang-kurangnya 4 ke 5 meter.

5. Sekiranya perlu buat unggun api hendaklah dalam jarak 4 meter dari khemah untuk mengelak percikan bunga api dan membakar khemah.

6. Jangan sekali-kali membawa masuk api ke dalam khemah seperti lampu gas atau minyak, dapur gas atau minyak, menghisap rokok dan sebagainya. Benda-benda ini bukan saja penyebab kebakaran tetapi juga sekiranya khemah bertutup rapat, ianya akan menghabiskan oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida dan meracuni udara di dalam khemah. Ini telah berlaku kematian sebagaimana berlaku di Gunung Korbu, Ulu Kinta satu masa dulu.

7. Hindari berkhemah di padang-padang lalang atau resam kerana lalang atau resam kering mudah terbakar. Begitu juga di tengah-tengah padang lapang kerana kemungkinan disambar petir adalah besar.

8. Dilarang sama sekali mendirikan khemah di bawah pokok yang rimbun, kerana bila hujan atau berlaku ribut, dahan-dahan pokok ini dengan daun yang rimbun dan berat amat berpotensi untuk runtuh dan menimpa khemah.

9. Jangan mendirikan khemah di bawah pokok yang mati. Pokok yang mati memang mereput dan akan patah pada bila-bila masa saja. Kemungkinan besar akan menghempap khemah.

10. Pastikan pintu khemah bertutup (zip) bila meninggalkan khemah untuk mengelak dari sebarang binatang atau serangga berbisa memasuki khemah.

11. Bila mendirikan khemah hendaklah pintu khemah tersebut membelakangkan arah tiupan angin untuk mengelakkan dari angin kuat menerobos ke dalam khemah bila pintu khemah di buka dan berpotensi untuk menerbangkan khemah atau paling tidak merusakan khemah.

12. Apa-apa benda tajam parang pisau dan sebagainaya hendaklah bersarung atau disimpan ditempat yang selamat dari terpijak dan senang untuk diambil bila perlu

13. Hendaklah menanda satu tempat bertemu atau berkumpul kembali yang difikirkan selamat sekiranya berlaku apa-apa kecemasan dan semuanya ahli bertepiaran lari ke pelbagai arah. Dan apabila keadaan sudah pulih tempat yang ditanda tadilah semua akan berkumpul semula

14. Setiap ahli atau anggota hendaklah mempunyai wisel untuk digunakan semasa kecemasan. Setiap keperluan tiupan wisel hendaklah diberikan 'Kod Nada' dan jangan ditiup sesuka hati.

Untuk keselesaan, carilah tapak khemah yang rata dan tidak berbatu. Elak dari tapak yang lecak, berlumpur atau bertunggul. Pastikan khemah tidak didirikan dalam kawasan berbahaya seperti pokok tumbang, sungai deras, ancaman lebah, dan sebagainya.

Untuk mendapat kemudahan asas hendaklah berkhemah dekat dengan punca air dan berhampiran denai atau trek.

Satu pesanan penting : Bawa keluar apa yang dibawa masuk, terutama tin dan bekas plastik. Jangan menebang pokok sekiranya tidak sangat-sangat diperlukan. Buang najis hendaklah di dalam lubang dan ditimbus bukan di dalam sungai.

Sabtu, 12 Disember 2009

Asas Masakan Hutan

Pengetahuan mengenai kaedah memasak altenatif penting bagi seorang ahli pengakap. Aktiviti seperti kembara dan perkhemahan lazimnya tidak mengizinkan ahli pengakap untuk membawa barangan dan makanan yang cukup kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. Kembara contohnya, memerlukan ahli pengakap untuk berjalan beberapa kilometer menyusuri pantai, anak sungai malah kadang kala jauh ke dalam hutan belantara. Justeru dalam nota kali ini, saya akan menunjukkan beberapa contoh masakan alternatif (masakan hutan) yang boleh digunakan oleh ahli pengakap jika berhadapan dengan situasi luar jangkaan seperti kehabisan bekalan makanan, sesat atau kemalangan ringan.

Resipi Pertama - Roti lilit

Bahan - Tepung gandum secukupnya, sedikit garam, air dan ranting kayu atau belahan buluh yang telah dibersihkan.
Cara Membuat - Campurkan tepung gandum, air dan sedikit garam. Lakukan dengan cermat dan sedikit demi sedikit mengikut keperluan. Uli sehingga sebati sehingga menjadi doh. Bila siap gentel doh tadi menjadi bentuk selinder yang panjang sebelum dililit dengan kemas pada sebatang belahan buluh atau ranting. Pastikan ukuran lilit doh tidak terlalu tebal kerana bimbang lambat masak. Jika ada mentega, sapukan di atas doh tadi. Kemudian panggang di tepi api yang sederhana sambil dipusing-pusingkan supaya semua bahagian doh masak dengan sempurna. Apabila telah masak, bolehlah dihidang di atas daun pisang. Bagaimana hendak menyalakan api ? Sebelum api dinyalakan, buat lubang berukuran 2 kaki x 1 kaki dengan kedalaman yang sesuai. Tujuan lubang ini ialah untuk meletakkan ranting kering supaya tidak ditiup angin.

Kebaikkan Menggunakan Lubang Api
1. melindungi tiupan angin
2. mengawal bara api supaya tidak dipijak
3. kekemasan dapur bawah (tanah)
4. lebihan bara api boleh terus ditimbus bila selesai masak
5. mengelakkan lokasi perkhemahan dikesan musuh

Cara Menyalakan Api Menggunakan Kanta
1. alternatif jika mancis basah, habis atau tertinggal
2. boleh digunakan jika hari panas (matahari terik)
3. perlukan sebuah kanta
4. gunakan habuk halus (buluh diraut halus)
5. atau kapas sebagai bahan bantu mula
6. kelemahannya, mengambil masa yang lama
7. amat menguji kesabaran ahli pengakap

Resipi Kedua - Masak nasi dalam buah kelapa

Bahan - Sebiji kelapa, beras secukupnya dan beberapa helai daun kelapa atau daun pandan.
Cara Membuat - Kelapa tua dikupas sabutnya tetapi tidak perlu di belah dua. Buat lubang di hujung tempurung kelapa berkenaan supaya beras dapat diisi dengan mudah. Beras yang telah dicuci di masukkan kelapa berkenaan berlahan-lahan bersama-sama air kelapa yang telah sedia ada di dalamnya. Ukuran beras ialah separuh dari keluasan buah kelapa berkenaan. Seterusnya, tutup lubang tadi dengan daun kepada atau daun pandan (jika ada), supaya air kelapa tidak melimpah keluar apabila mendidih kelak. Akhir sekali, masukkan kelapa yang berisi beras tadi ke dalam bara api dan tunggu sehingga mendidih dan masak. Salah satu tanda nasi telah masak ialah tempurung kelapa telah hangus. Angkat kelapa berkenaan, dan belah dua untuk melihat hasilnya. Nasi tadi berasa amat sedap dan berbau wangi seperti nasi lemah. Sebiji kelapa sesuai untuk hidangan dua orang dewasa.

Resipi Ketiga - Masak nasi dalam buluh

Bahan - Dua batang buluh lemang, beras secukupnya dan beberapa helai daun pisang muda.
Cara Membuat - Potong buluh kira-kira panjang sebelah tangan. Kemudian cuci sehingga bersih dan lapik menggunakan daun pisang muda di bahagian dalamnya (seperti buat lemang). Beras yang telah dicuci di masukkan ke dalam buluh. Ukuran beras ialah separuh dari ketinggian buluh berkenaan dan tuangkan air hingga 3/4 penuh. Tutup hujung buluh dengan daun pisang muda yang telah dibuat gumpalan. Tujuannya supaya habuk dan asap tidak masuk ke dalam nasi berkenaan. Akhir sekali, sendengkan buluh yang berisi beras tadi ke tepi bara api dan tunggu sehingga mendidih. Salah satu tanda nasi telah masak ialah air dalam buluh tadi kering. Sebatang nasih yang dimasak dalam buluh sesuai untuk hidangan dua orang dewasa.

Resipi Keempat - Masak telur dalam limau

Bahan - beberapa biji telur, dua biji buah limau sunkist, dan beberapa batang lidi.
Cara Membuat - Limau sunkist perlu dipotong dua. Bahagian yang perlu dipotong ialah di bahagian atas limau berkenaan dan jadikan seperti tutupnya. Kemudian buang bahagian isi dalamnya dengan cermat supaya tidak bocor. Hanya perlukan kulit luar sahaja untuk dijadikan 'periuk' sementara. Jika limau sunkist tiada, cari buah hutan yang berkulit tebal dan basah serta dibuang isi dalamnya. Pecahkan sebiji telur ke dalam 'periuk limau' tadi dan kacau perlahan-lahan sebelum ditutup dengan kemas. Gunakan lidi sebagai 'jarum' supaya tutup limau tidak terbuka. Letakkan 'mangkuk limau' yang mengandungi telur dengan cermat di tepi bara api. Tunggu sehingga telur tadi masak dan dihidang di atas daun pisang. Rasa telur amat enak, kerana campuran perisa limau dan telur tadi.

Resepi Kelima - Telur bersalut tanah liat

Bahan - Telur secukupnya dan tanah liat sungai.
Cara Membuat - Kumpul tanah liat sungai dalam sebuah bekas. Pastikan tanah liat tidak terlalu cair. Kemudian balut telur tadi dengan menggunakan tanah liat sehingga tebal. Tujuan utama kenapa tanah perlu dibalut dengan tebal supaya telur tidak pecah atau meletup apabila dibakar. Jika selesai, masukkan telur ke dalam bara api dan tunggu sehingga masak. Tanda telur telah masak ialah, bahagian tanah liat tadi kelihatan kering dan merekah.

Selamat Mencuba..!