Ahad, 13 Disember 2009

Istiadat Perlantikan Pengakap Kanak-Kanak

Seorang kanak-kanak akan disahkan terlebih dahulu, sebagai seorang ahli Pergerakan Pengakap setelah melalui satu istiadat yang serupa bagi seluruh dunia. Istiadat itu dijalankan, seperti berikut:

1. dalam perkataan dan upacara yang mudah.
2. ikhlas dari segi perlantikan kanak-kanak dan pemimpin yang berkenaan.
3. khusyuk (dignified) dan syahdu.

Perlu diingat bahawa Pengakap akan menilai perlantikannya dari segi penampilan persediaannya dan cara istiadat itu dilansanakan. Prosedur adalah seperti yang dinyatakan di bawah ini.

1. Lebih baik dijalankan di tempat luas atau terbuka.
2. Jika diadakan di perjumpaan Troop, istiadat patutlah diadakan di peringkat awal.
3. Kalau diadakan di dewan, dewan itu mestilah dibersihkan dan alatan dewan diketepikan. Tugas
    ini dijalankan oleh patrol yang bertugas.
4. Pemimpin janganlah menggunakan buku rujukan. Teks biasa janganlah diubah.
5. Semua yang membantu istiadat tersebut haruslah faham peranan masing-masing. Adakan raptai kalau
    perlu (tanpa kehadiran ahli baru itu).
6. Cadangan untuk mengadakan istiadat itu hendaklah diberitahu kepada Troop atau PEK
    pada perhimpunan sebelumnya dan semua keperluan hendaklah disediakan.
7. Pengakap itu patut dilantik oleh Pemimpin Kumpulan. Perlantikan adalah perkara peribadi
    antara  Pemimpin dengan Pengakapnya.
8. Pemimpin hendaklah mempunyai tauliah.

ISTIADAT PERLANTIKAN PENGAKAP KANAK-KANAK

Istiadat melantik Pengakap Kanak-Kanak adalah seperti berikut:

1. PEK berada dalam bulatan. AKELA berdiri di tengah-tengah bulatan. Penolong Pemimpin berdiri
    di luar bulatan di belakang tiang bendera. PEK berdiri dalam keadaan sedia.
2. Adik baru yang berada di luar bulatan dipanggil masuk ke dalam bulatan.
3. Ketua Sekawan yang berkenaan membawa ahli baru itu berdiri di hadapan AKELA. Selepas itu,
    Ketua Sekawan balik ke tempatnya.
4. Serentak dengan itu, Penolong Pemimpin masuk ke dalam bulatan dan berdiri di sebelah AKELA
   dengan membawa topi, sekaf dan lencana keahlian.
5. AKELA : "Adakah kamu ingin menjadi seorang Pengakap Kanak-Kanak?"
    PKK Baru : "Ya, AKELA."
    AKELA : "Adakah kamu bersedia untuk melafazkan Persetiaan Pengakap"
    PKK Baru : "Ya, AKELA."
6. AKELA melafazkan Persetiaan Pengakap dan diikuti oleh PKK baru itu:-
    "Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia, yang saya dengan seberapa daya
     upaya saya akan;
            a.  Taat kepada Tuhan, Raja dan Negara,
            b.  Menolong orang pada setiap masa,
            c.  Menurut Undang-Undang Pengakap"
7. AKELA berjabat tangan dengan Pengakap Kanak-Kanak yang baru dan berkata:-
    "Saya percaya kamu akan buat habis baik dan menurut apa yang kamu janjikan. Kamu sekarang   
      adalah seorang Pengakap Kanak-Kanak dan seorang ahli dalam Persaudaraan Pengakap Sedunia."
8. AKELA menyematkan lencana keahlian, menyarungkan sekaf dan memakaikan topi kepada
    pengakap Kanak-Kanak itu.
9. Pengakap Kanak-Kanak memberi tabik hormat kepada AKELA. Kemudian PKK itu berpusing dan
     memberi hormat kepada PEK. PEK membalas hormat sebagai tanda mengalu-alukan PKK
    (Adik baru) ke dalam PEK.
10. Ketua Sekawan berkenaan membawa Pengakap Kanak-Kanak baru itu dan memperkenalkannya
      kepada Sekawan itu.
11. Istiadat ini diakhiri dengan Laung Agung yang dibuat kali pertama disertai Pengakap Kanak-Kanak
      tersebut.
12. Sekiranya semua Sekawan adalah ahli baru, maka istiadat perlantikan diadakan dalam dua peringkat.
      Ketua Sekawan dilantik terlebih dahulu dan ahli lain dilantik kemudian.